powered by
Socialbar
Socialbar
Y. BHG. TAN SRI RAHIM TAMBY CHIK, PENGERUSI RISDA
TEMPAT: HOLIDAY VILLA, SUBANG
TARIKH: 27 OKTOBER 2011/ MASA : 3.15 PETANG
Terima kasih, Saudara Saudari, Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia, Tuan Hj Mohamat bin Muda, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan),
Ybhg Dato' Ahmad Nawawi bin Dato' M Zin, Ketua Perhubungan UMNO Selangor,
Ahli-ahli Parlimen Negeri Selangor,
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Selangor,
Ketua-ketua Bahagian UMNO Selangor,
YBrs En Wan Ahmad Shabri Zainuddin bin Wan Mohamad, Pengarah RISDA Negeri Selangor,
Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan,
Pegawai Kanan RISDA Negeri dan Daerah,
Ketua-ketua Masyarakat Setempat,
Wakil-wakil NGO's Negeri Selangor,
Para Pemaju Masyarakat RISDA Selangor,
Seterusnya Tuan-tuan dan Puan-puan, hadirin yang saya hormati sekelian,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Syukur Alhamdullillah ke hadrat Allah S.W.T. dan memanjangkan selawat kepada Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad SAW kerana kita dapat berkumpul pada hari ini dalam Majlis Penerangan Program Pembangunan RISDA peringkat Negeri Selangor Tahun 2012 dan Majlis Penyampaian Sumbangan ‘CSR’ kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO’s) Negeri Selangor bagi tahun 2011 ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih di atas jemputan bagi menyempurnakan Majlis pada kali ini.
Juga kepada para tetamu kehormat yang hadir serta dif-dif jemputan yang lain. Kami di RISDA amat berbangga dan bertuah akan kehadiran tuan – tuan dan puan – puan merupakan tanda sokongan dan keperihatinan kepada terhadap pembangunan masyarakat pekebun kecil di Selangor. Pihak RISDA juga mengalu-alukan kehadiran semua yang hadir khasnya masyarakat pekebun kecil negeri Selangor kerana dapat menghadiri Majlis pada petang ini.
Program Pembangunan RISDA Selangor
Seperti yang telah dimaklumkan oleh YBhg Timbalan Ketua Pengarah tadi, RISDA telah memperuntukan sejumlah RM17.7juta bagi sasaran dan matlamat program Tanam Semula Getah dan Sawit di negeri bertuah ini bagi tahun 2012. Walaupun harga getah dan sawit agak baik sekarang, namun harus kita ingat akan kesinambungan komoditi ini pada masa akan datang. Pengekalan pengeluaran getah asli harus diberi perhatian serius kerana ia merupakan pendapatan komoditi kedua terbanyak negara selepas sawit. Adalah amat malang jika masyarakat pekebun tidak merebut peluang menyertai program – program yang disediakan bagi memartabat industri getah itu sendiri.
Saya menyeru kepada pemilik-pemilik kebun yang pokoknya telah berusia melebihi 20 tahun untuk menyertai program ini. Kebun-kebun yang sudah tua tidak akan menghasilkan keluaran yang memuaskan. Produktiviti getah akan menurun dan akhirnya pendapatan yang diterima tidak setimpal dengan usaha yang dilakukan. Melalui Program Tanam Semula, segala bantuan akan disalurkan termasuk benih yang bermutu, baja yang berkualiti serta khidmat nasihat pertanian secara berterusan demi menjayakan kebun-kebun baru. Sasaran kita pada tahun 2012 ialah setiap hektar kebun dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 1,600kg/setahun bagi getah dan 18mt/setahun bagi kebun sawit. Dengan menyertai program Tanam Semula, Insya-Allah, hasilnya akan berlipat kali ganda untuk tuan-puan nikmati pada masa hadapan.
NGO’s
Kerajaan menghargai peranan yang dimainkan oleh badan-badan bukan kerajaan. Kerajaan senantiasa mengiktiraf sumbangan berharga NGO’s dalam memacu masyarakat setempat, mengatasi gejala sosial dan sebagainya. Memang benar kerajaan mempunyai program dan projek kebajikan dalam membantu pertubuhan-pertubuhan sukarela. Tetapi usaha-usaha ini masih tidak mencukupi bagi menampung pembiayaan aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan yang dilaksanakan oleh NGO’s. Sudah pasti kerajaan tidak dapat menjangkau kesemuanya, tetapi peranan yang dimainkan oleh NGO’s dalam menokok tambah usaha-usha kebajikan Kerajaan dapat membantu golongan yang disasarkan.
Saya faham kekangan kewangan yang dihadapi dan sebab itulah sumbangan ‘CSR’ ini diharap dapat membantu serba sedikit dari segi aspek kewangan. Dengan bantuan ini, insya-Allah mereka yang kurang bernasib baik di negara kita akan dapat pembelaan yang sewajarnya. Sebanyak 38 NGO’s akan menerima sumbangan CSR yang berjumlah RM100,000.00 secara keseluruhan bagi membiayai program masing-masing. Antaranya adalah Pertubuhan Belia dan Gerakan Belia 4B, pertubuhan silat, kelab sukan, PIBG sekolah serta pertubuhan-pertubuhan belia dan persatuan-persatuan penduduk yang terpilih semoga segala perancangan mereka dapat dilaksanakan tanpa kekangan kewangan. Walaupun tidak semua yang dapat kita bantu, tetapi ini merupakan langkah pertama dan saya berharap teruskan usaha tuan – tuan dalam memperjuangkan dan menjayakan aktiviti yang dirancang bagi faedah masyarakat setempat dan ahli – ahli NGO’s.
Penutup
Akhir kata, saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih dif-dif jemputan yang hadir terutamanya kepada Yang Berbahagia Dato Ir Mohd Zin bin Mohamad yang sudi hadir bagi ke Majlis pada kali ini. Juga ucapan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir serta kepada Pejabat RISDA Negeri Selangor kerana dapat mengadakan majlis seumpama ini dengan baik pada petang ini. Tidak ketinggalan juga kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang selama ini telah memberi sokongan kepada RISDA.
Semoga majlis ini memberi manafaat yang sepenuhnya kepada masyarakat pekebun kecil.Saya mendoakan agar Tuan-Tuan dan Puan-Puan akan terus maju jaya dan dirahmati Allah SWT dan diberi keberkatan dalam menjalani satu kehidupan yang sejahtera. Azam dan kerjasama dari semua pihak akan dapat menjayakan aktiviti pembangunan luar bandar dan semoga Tuan-Tuan dan Puan-Puan akan terus cemerlang dalam mengharungi kehidupan yang lebih sejahtera.
Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh.
Tan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.