powered by
Socialbar
Socialbar
Y. BHG. TAN SRI RAHIM TAMBY CHIK, PENGERUSI RISDA
TEMPAT: HOTEL SRI KELAWANG, JELEBU, NEGERI SEMBILAN
TARIKH: 27 OKTOBER 2011/ MASA : 10.00 PAGI
Saudara Pengacara Majlis,
YB Dato' Hj. Yunus bin Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Sembilan merangkap ADUN Klawang,
YB Dato' Abd Samad bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Seri Menanti,
Y.Brs. Tuan Haji Mohamat bin Muda, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, selaku wakil Ketua Pengarah RISDA,
Y.Brs. Tuan Hj Ghafar bin Dato' Hj.Borhanuddin, Pengarah RISDA Negeri Sembilan,
Y.Brs. Encik Zulkifli bin Baharan, Pegawai Daerah Jelebu,
Ketua-ketua Jabatan Peringkat Daerah,
Pegawai-pegawai RISDA,
Pemaju-pemaju Masyarakat RISDA,
Pengerusi Badan-badan Bukan Kerajaan,
Seterusnya hadirin hadirat yang dihormati sekalian.
Sepenuh puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat ALLAH SWT, kerana dengan limpah izin dan rahmatNYA dapat kita semua bertemu di sini pada pagi ini untuk sama-sama menjayakan Majlis Penyampaian Sumbangan Pengerusi RISDA , DIVIDEN AET 2011 & Penyerahan Kelulusan Bantuan Tanam Semula.
Pertamanya, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus di bawah pimpinan YAB Dato' Seri Utama Hj.Mohamad bin Hj.Hassan, Menteri Besar yang telah memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak RISDA dalam membantu kita menjayakan majlis ini. Untuk makluman, kita baru saja melancarkan program gerakan membaja peringkat nasional yang telah diadakan di TSB Permatang Pasir, Linggi pada 4 Oktober 2011 lalu yang turut sama dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan selain daripada YB Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sendiri yang telah merasmikan majlis berkenaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Daerah Jelebu merupakan antara daerah yang agak terkenal ketika ini terutama bila penyanyi Aizat mempopularkan lagu Sungai Lui yang menerima anugerah sempena juara lagu lalu. Tentulah masyarakat daerah ini gembira dengan usaha mempopularkan pekan Sungai Lui yang menjadi antara nadi penting daerah Jelebu selain TITI, Simpang Durian, Simpang Pertang dan Pertang. Syabaslah kepada orang-orang Sungai Lui dan daerah Jelebu amnya.
Saya mengambil kesempatan ini untuk melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada YB Dato' Hj. Yunus bin Rahmat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Sembilan merangkap ADUN Klawang dan YB Dato' Abd Samad bin Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan merangkap ADUN Seri Menanti yang sudi hadir ke majlis ini. Sesungguhnya RISDA amat menghargai segala kerjasama yang telah diberikan oleh kedia-dua pemimpin ini, yang sejak dari dulu lagi tidak jemu-jemu untuk membantu RISDA di mana yang perlu. Ini membuktikan bahawa kepimpinan kerajaan sedia ada tidak pernah leka atau lalai, dalam menjayakan setiap agenda demi memajukan masyarakat luar bandar terutama pekebun kecil di Negeri Sembilan ini khususnya.
Saya merasa agak teruja bilamana melihat jumlah kehadiran tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi dewan di Hotel Sri Klawang ini untuk bersama-sama kita memeriahkan majlis anjuran RISDA. Juga, tidak lupa saya mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang sentiasa memberikan komitmen yang begitu padu dalam usaha kita untuk membangun dan membawa kemajuan secara berterusan kepada masyarakat kumpulan sasar yang begitu penting peranannya dalam sektor ekonomi negara ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Selain daripada dapat berkenal mesra hari ini kita juga akan menyerahkan sumbangan kepada 26 badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang berjumlah RM100,000.00. Sumbangan tersebut adalah sebagai salah satu cara kita sebagai kerajaan yang memerintah untuk menghargai jasa dan bakti NGO-NGO dalam membantu kerajaan untuk membangun kumpulan sasar di bawah jaringan portfolio masing-masing.
Saya juga ingin memaklumkan bahawa hari ini kita turut sama akan menyerahkan kelulusan bantuan tanam semula yang melibatkan seramai 50 orang peserta yang didatangkan khas dari seluruh daerah Jelebu. Sudah pasti melalui bantuan tersebut para peserta akan dapat melaksanakan program tanam semula yang menjadi salah satu daripada teras bidang kerja RISDA selama ini. Saya berharap supaya kita dapat mengikuti setiap susur galur (Checklist) yang ditetapkan untuk melaksanakan program tanam semula supaya hasil tanaman kita terus melonjak dari semasa ke semasa.
Menyingkap jendela daerah Jelebu yang berkeluasan 20.4% daripada keseluruhan tanah di Negeri Sembilan, tentulah daerah ini agak bertuah kerana banyak program dan aktiviti yang dilibatkan di sini mempunyai pengaruh nasional. Ini dimungkinkan lagi dengan adanya wakil rakyat Jelebu sendiri iaitu YB Dato' Seri Dr. Rais Yatim yang merupakan Menteri yang memegang portfolio penerangan dan komunikasi negara. Dan, kita di RISDA juga tidak sepi daripada mengetengahkan program dan aktiviti bercorak sedemikian. Justeru, majlis hari ini dapatlah juga dirumuskan sebagai program bercorak nasional yang mana bertepatan sekali dengan hasrat Perdana Menteri sendiri untuk mendahulukan rakyat dalam setiap agenda pembangunannya.
Hadirin yang dimuliakan,
Saya merakamkan ucapan tahniah kepada penerima-penerima dividen projek AET yang mampu menjadi contoh kepada rakan-rakan yang lain untuk memajukan projek masing-masing. Suka saya maklumkan bahawa bagi projek-projek seperti yang telah disebutkan pada awal tadi oleh wakil Ketua Pengarah RISDA, bahawa kerajaan telah bersetuju menyediakan dividen-dividen seperti mana yang akan saya sebutkan.
Dividen bagi projek AET Kambing Boer Berkelompok secara fidlot di Peradong dan Jelebu, ialah sebanyak RM200.00 bagi setiap peserta yang membawa jumla besar sebanyak RM4,000.00 bagi jumlah keseluruhan peserta seramai 20 orang. Manakala dividen AET Projek Ikan Keli Berkelompok di Lenggeng, yang membabitkan 3 peserta akan menerima RM472.00 setiap peserta. Jumlah besar ialah sebanyak RM1,416.00. Dan, penerima dividen bagi Projek AET Tanaman Serai Berkelompok di Lenggeng, yang membabitkan 3 peserta ialah sebanyak RM321.00 setiap peserta atau jumlah keseluruhannya sebanyak RM963.00.
Sehubungan ini, saya amat berharap semoga para peserta yang terlibat akan terus menambahbaik projek-projek mereka melalui kursus anjuran RISDA dan agensi berkaitan selain pencarian informasi di media elektronik khususnya internet. Kita seharusnya tidak merasa terlalu berpuashati dalam mengusahakan sesuatu projek, kerana sikap tersebut akan menyebabkan kita mundur setapak ke belakang daripada orang lain yang telah lebih dahulu berjaya. Usaha itu tangga kejayaan.
Saya memberi jaminan bahawa RISDA akan sentiasa menjaga kepentingan setiap pekebun kecil di negara ini sesuai dengan tanggungjawab yang dipikul selain berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik melalui agen-agen pembangunan kita di daerah dan negeri seperti pemaju masyarakat RISDA selain daripada pegawai-pegawai RSIDA di lapangan.
Justeru, kita amat memerlukan sepenuh kerjasama daripada Tuan-tuan dan Puan-puan untuk memberikan sebarang maklum balas bagi memperbaiki sistem penyampaian kita. Unit aduan yang terdapat di Bahagian Komunikasi Korporat, Ibu Pejabat RISDA sentiasa bersedia menerima maklum balas seperti yang disebutkan. Selain itu, aduan juga boleh dikemukakan di semua cawangan kita di negeri dan daerah.
Saya tidak berhasrat untuk berucap panjang kerana kira akan mendengar ucapan perasmian daripada tetamu kehormat kita sebentar nanti, maka itu saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun:
Baru berjumpa rasa dah lama
Orang Jelebu ramah dan mesra
Pekebun dan RISDA sentiasa bersama
Erat perpaduan memajukan negara
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Tan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.