powered by
Socialbar
Socialbar
UCAPAN PERASMIAN OLEH
YANG BERBAHAGIA TAN SRI RAHIM BIN TAMBY CHIK (PENGERUSI RISDA)
DI SEK KEB. TOK BOK MACHANG, 9 SEPTEMBER 2009
Yang Berusaha Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia Dato' Wan Mohd Zuki bin Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Korporat) RISDA,
Yang Berbahagia Tn. Hj Ahmad Jazlan bin Dato' Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Machang,
Yang Dihormati Tn. Hj. Khalid bin Awang Said, Pengarah RISDA Negeri Kelantan,
Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan,
Ketua-Ketua Jabatan Negeri Kelantan,
Pemimpin-pemimpin tempatan serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian.
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ramadhan
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita berkumpul di Dewan Sekolah Kebangsaan Tok Bok ini bagi 'Majlis Penyampaian Dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) Negeri Kelantan 2009' pada hari ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada RISDA Negeri Kelantan kerana mengaturkan satu Majlis Silaturrahim seumpama ini yang begitu berfaedah kepada kita dan juga masyarakat pekebun kecil. Penyampaian dividen RTBB membuktikan komitmen RISDA yang berterusan untuk membantu masyarakat pekebun kecil. Daripada jumlah dividen RM 83.2 juta yang diumumkan bagi tahun 2008. Setakat hari ini, RISDA telahpun membayar dividen RTBB sejumlah RM65.3 juta kepada 12,112 orang pekebun kecil di Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Melaka dan Johor. Pada hari ini, RISDA menyampaikan dividen RTBB sejumlah RM6.09 juta kepada 1,459 orang pekebun kecil negeri Kelantan dan pada masa yang sama dividen sejumlah Rm3.4 juta kepada 820 orang pekebun kecil di negeri Terengganu. Agihan dividen ini dibuat dalam bulan Ramadhan suapay Tuan-tuan dan Puan-puan boleh membuat persiapan Aidilfitri.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian,
Sejak 52 tahun yang lalu, Kerajaan telah berjaya membawa kesejahteraan kepada rakyat, berlandaskan kepada prinsip perkongsian kuasa, mengutamakan kestabilan politik, berpegang kepada kesederhanaan dan mementingkan kemakmuran ekonomi. Sebenarnya, negara kita merupakan antara negara yang paling stabil dan makmur di rantau ini. Kejayaan ini telah dicapai sungguhpun negara telah menghadapai pelbagai rintangan dan cabaran. Hari ini kita berdepan dengan persekitaran krisis ekonomi yang melanda secara global di seluruh dunia. Malaysia menerima kesan secara langsung daripada krisis ekonomi dengan penurunan harga dan eksport komoditi getah dan sawit. Sektor pekebun kecil menyumbang 95.4 peratus kepada pengeluaran getah negara dan dengan ini, Tuan-Tuan dan Puan-Puan juga turut menerima kesannya. Namun percayalah pihak kerajaan sedang bertungkus lumus membantu sektor pekebun kecil melalui pakej-pakej rangsangan dan saya pasti tuan-tuan dan puan-puan bersama-sama berganding bahu menangani masalah ini berbekalkan semangat dan usaha yang gigih. Baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telahpun mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National key Results Areas, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang di beri keutamaan di peringkat kebangsaan. Dengan adanya NKRA dan KPI ini, segala usaha akan digembleng dan ditumpu untuk mencapai sasaran yang dijanjikan.
Selari dengan 6 NKRA yang telah diutarakan oleh YAB Perdana Menteri, Kementerian Kemajuan Luar bandar dan Wilayah juga telah mengenalpasti Key Results Areas atau KRA dan juga KPI yang akan diberi perhatian khusus dan semua agensi di bawah KKLW akan dinilai berdasarkan petunjuk-petunjuk ini yang akan diukur pencapaiannya secara terperinci. Salah satu KPI utama dalah produktiviti kebun getah dan sawit. Justeru itu, Kementerian telah mensasarkan produktiviti sebagai petunjuk prestasi bagi RISDA dan FELCRA. Jika dahulu RISDA telah memberi penekanan kepada pembangunan tanah pekebun kecil dan sebagai susulan, sekarang RISDA disarankan supaya memberi penekanan dan fokus kepada produktiviti kebun ke arah produktiviti yang tinggi, beberapa faktor awalan seperti enviromaks, amalan pertanian yang baik serta 'mechanisation' akan di fokuskan.
Para hadirin yang dihormati sekelian,
Kawasan tanah yang sesuai untuk dibangunkan bagi bidang pertanian mulai terhad. Konsep RTBB yang dilaksanakan dalam tahun-tahun 70an mungkin tidak praktikal lagi. Begitu juga dengan pekebun kecil yang mempunyai keluasan kebun yang terhad iaitu purata 2.3 hektar seorang. Oleh yang demikian, satu pemikiran dan tindakan pro aktif perlu diambil oleh RISDA bagi memastikan produktiviti kebun sedia ada dapat ditingkatkan walaupun mempunyai keluasan tanah yang terhad seperti mana petani di negara Jepun, belanda dan Taiwan. Perkara ini sebenarnya boleh dibuat. Dalam pengeluaran getah contohnya, walaupun keluasan tanaman getah telah menurun dari 1.28 juta hektar ke 1.03 hektar antara tahun 1998 hingga 2007, namun pengeluaran telah meningkat dari 0.68 juta mt dalam tahun 1998 ke 1.13 juta mt dalam tahun 2008. Ini merupakan satu contoh kejayaan penggunaan teknologi dan aktiviti pengembangan berterusan. Pada ketika ini pekebun kecil getah berupaya mengeluarkan hasil sebanyak 1,580 kg/hektar/thn dan RISDA dan FELCRA telah disarankan supaya meningkatkan lagi produktiviti tahun 2009 kepada 1,600 kg sehektar setahun. Manakala pekebun kecil sawit daripada 18tan per hektar kepada 19 tan sehektar. Saya yakin produktiviti ini boleh ditingkatkan lagi kerana potensi klon yang sedia ada mampu menghasilkan lebih dan pekebun kecil perlu mengambil tindakan mempastikan bilangan pokok ditoreh sekurang-kurangnya 500 pokok sehektar.
Pihak RISDA telah melancarkan tahun 2009 sebagai Tahun Transformasi pengembangan untuk mempergiat dan memantapkan lagi aktiviti-aktiviti pengembangan supaya dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pekebun kecil. Dengan ini, bimbingan dan tunjuk ajar mengenai produktiviti dan semua teknologi yang ebrkaitan diberi penekanan supaya pekebun kecil getah memperoleh sekurang-kurang 1,600 kilogram sehektar setahun manakala pekebun kecil sawit memperoleh sekurang-kurang 19 hetrik tan sehektar setahun.
Untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian kepada pekebun kecil, RISDA juga telah melaksanakan sistem e-kebun dan mula bekerjasama dengan pihak MACRES atau Malaysian Centre for Remote Sensing dan sudah mula meneroka penggunaan satelit untuk membantu mengenalpasti kawasan-kawasan getah tua untuk program penanaman semula yang lebih berkesan. Langkah RISDA untuk mewujudkan Sistem Komputer e-Tanam Semula boleh mempercepatkan proses Tanam Semula dengan menggabungkan data-data dari pejabat Tanah (e-Tanah), Plan Kadestral Jabatan Ukur, Sistem e-Kebun RISDA dan Sistem Klasifikasi Tanah di Kementerian Pertanian.
Baru-baru ini YAB Perdana Menteri kita telahpun memberitahu mengenai cadangan penggabungan FELDA, RISDA dan FELCRA mewujudkan konsortium. Apa yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri adalah supaya FELDA, RISDA dan FELCRA bekerjasama dan kesepakatan yang boleh memberi kebaikan bersama. Misalnya FELDA, FELCRA dan RISDA perlu 'collaborate' atau bekerjasama antara satu sama lain supaya dapat bertindak dengan lebih agresif dan mampu memperoleh impak maksimum dalam industri ini. Ia membabitkan soal penggunaan kemudahan bersama, berkongsi rangkaian perniagaan, mengelakkan pertindihan logistik, memanfaatkan teknologi secara bersepadu serta menyelaraskan perancangan atau projek. Penggabungan ini tidak sama sekali bermaksud penggabungan tiga agensi ini menjadi satu.
Akhirkata, tahniah saya ucapkan kepada RISDA kerana telah berjaya memberi dividen sejumlah RM6.09 juta kepada peserta-peserta Rancangan Tanam Baru berkelompok (RTBB) negeri Kelantan. Ini adalah satu bentuk kejayaan projek yang di buat secara berkumpulan.
InsyaAllah, dengan keberkatan doa kita kepada Allah S.W.T, kita akan sentiasa mendapat petunjuk dariNya dan mendapat keredhaan untuk memperolehi kejayaan. Marilah sama-sama kita doa kepada Allah supaya mudah-mudahan apa yang kita lakukan ini akan mencapai kejayaan dan mendapat keredhaanNya.
Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirrahim' saya menyempurnakan Majlis Penyampaian Dividen RTBB Negeri Kelantan 2009'.
Sekian. Terima Kasih.
Tan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.