powered by
Socialbar
Socialbar
UCAPAN PERASMIAN OLEH
YANG BERBAHAGIA TAN SRI RAHIM BIN TAMBY CHIK (PENGERUSI RISDA)
DI D'VILLAGE MELAKA, 7 SEPTEMBER 2009
Yang Berusahan Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berbahagia Dato' Wan Mohamad Zuki bin Hj. Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah,
Yang Dihormati En. Md.Tahir bin Othman, Pengarah RISDA Negeri Melaka,
Ketua-ketua Agensi di bawah KKLW,
Pemimpin-pemimpin tempatan serta Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian,
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabaraktuh dan Salam Sejahtera
Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwa Ta'aala di atas limpah dan kurniaNya dapat kita berhimpun pada pagi ini untuk Majlis Penyampaian Dividen Rancangan Tanam Baru Berkelompok RISDA Negeri Melaka Tahun 2009. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada RISDA Negeri Melaka kerana telah menjemput saya untuk menyempurnakan Majlis ini.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekelian,
Sektor pertanian telah memainkan peranan penting di dalam pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia. Dalam tahun 2008, 7.32% dari KDNK negara dan 13.8% dari tenaga kerja disumbangkan oleh sektor pertanian. Objektif utama Dasar Pertanian Negara ke 3 (DPN3) adalah untuk memaksimakan pendapatan melalui penggunaan sumber secara optima dalam sektor ini. Ia meliputi usaha memaksimakan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan eksport serta pendapatan petani, penternak dan nelayan. Usaha-usaha ke arah pencapaian matlamat ini memerlukan satu pendekatan pembangunan modal insan yang lebih menyeluruh di kalangan pengusaha-pengusaha dalam bidang pertanian itu sendiri. Menyedari hakikat inilah, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah khususnya RISDA telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan masyarakat luar bandar khususnya pekebun kecil dalam industri getah dan sawit.
Tanaman Getah merupakan tanaman strategik negara. Walapun pada suatu masa dahulu Malaysia merupakan pengeluar utama dunia tetapi sekrang kita terpaksa akur bahawa kita telah jatuh dalam pengeluaran getah.Salah satu faktornya adalah kekurangan dalam keluasan getah yang disebabkan oleh pembangunan dalam sektor lain atau pertukaran kepada sawit. Untuk Malaysia kekal strategik dengan tanaman getah, kita perlu 'explore' dan bergerak dengan cepat di Sarawak yang berpotensi untuk getah. Untuk mencapai matlamat ini, RISDA telah pun mula beroperasi di Sarawak pada bulan Januari 2009 dan sedang bekerja keras untuk mencapai matlamat ini. Saya percaya dan yakin bahawa RISDA akan dapat memberi khidmat bakti kepada kira-kira 112,000 orang pekebun kecil Sarawak dengan anggaran keluasan 157,163 hektar.
Baru-baru ini YAB Perdana Menteri kita telah pun mengumumkan mengenai cadangan penggabungan FELDA, RISDA dan FELCRA mewujudkan konsortium. Apa yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri adalah supaya FELDA, RISDA dan FELCRA bekerjasama dan kesepakatan yang boleh memberi kebaikan bersama. Misalnya FELDA, RISDA dan FELCRA perlu 'collaborate' atau bekerjasama antara satu sama lain supaya dapat bertindak dengan lebih agresif dan mampu memperoleh impak maksima dalam industri ini. Ia membabitkan soal penggunaan kemudahan bersama, berkongsi rangkaian perniagaan, mengelakkan pertindihan logistik, memanfaatkan teknologi secara bersepadu serta menyelaraskan perancangan atau projek. Penggabungan ini tidak sama sekali bermaksud penggabungan tiga agensi menjadi satu.
Kepesatan ekonomi negara telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan yang lebih cenderung untuk terlibat dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Akibatnya sektor perladangan terpaksa bergantung kepada tenaga kerja asing. Untuk memastikan minat generasi muda dalam sektor ini, kita perlu menyediakan program latihan tenaga kerja tempatan yang cekap, berilmu dan berkemahiran dalam bidang pertanian. Sebagai langkah membangunkan modal insan di kalangan anak tempatan, RISDA melalui Kolej RISDA telah menyediakan kursus-kursus peringkat Diploma dan Sijil untuk menghasilkan pekerja-pekerja mahir di peringkat bawah dan pertengahan. Negara mempunyai siswazah yang cukup untuk memenuhi jawata-jawatan pengurusan tinggi tetapi kurang dalam peringka tbawah dan tengah. Kolej RISDA akan berperanan sebagai pekerja mahir untuk memenuhi lompang yang ada. Setakat ini, Kolej RISDA telah melahirkan seramai 3,420 orang graduan dan pada masa ini, Kolej RISDA mempunyai 1,300 orang pelajar dalam pelbagai bidang pengajian, khususnya bidang pertanian.
YAB Perdana Menteri juga ada menyebut mengenai 'Precision' atau ketepatan masa dan ketepatan fakta. Kepentingan data dan ketepatan maklumat amat perlu untuk perancangan, pelaksanaan dan pemantauan sesuatu projek di lapangan. Untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian kepada pekebun kecil, RISDA telah melaksanakan sistem e-kebun dan mula bekerjasama dengan pihak MACRES atau Malaysia Centre for Remote Sensing dan sudah mula meneroka penggunaan satelit untuk membantu mengenalpasti kawasan-kawasan getah tua untuk program penanaman semula yang lebih berkesan. Saya amat bersetuju dengan langkah RISDA mewujudkan Sistem Komputer e-Tanam Semula yang boleh mempercepatkan proses Tanam Semula dengan menggabungkan data-data dari Pejabat Tanah (e-Tanah), Plan Kadestral Jabatan Ukur, Sistem e-Kebun RISDA dan Sistem Klasifikasi Tanah di Kementerian Pertanian. Saya berharap RISDA akan teruskan usaha ini dalam bidang-bidang perkhidmatan lain.
Dalam menyahut saranan YB Dato' Seri Mohd Shafie bin Hj. Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bahawa RISDA dan masyarakat pekebun kecil perlu menceburi dalam aktiviti hiliran dalam industri getah dan sawit untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil, pihak RISDA sedang berusaha ke arah tersebut. Kajian penyusunan semula anak-anak syarikat RISDA sedang dibuat oleh Syarikat Perunding Price Waterhouse dan hasil kajian akan dikemukakan pada Oktober 2009. Di samping itu, pindaan Akta RISDA yang akan di bentang dalam parlimen tidak lama lagi, merupakan antara usaha-usaha ke arah menyahut saranan tersebut.
Akhirkata, tahniah saya ucapkan kepada RISDA kerana telah berjaya memberi dividen sejumlah RM2.4 juta kepada peserta-peserta Rancangan Tanam Baru berkelompok (RTBB) dan juga peserta-peserta Tanam Semula Komersial (TSK) Negeri Melaka. Ini adalah satu bentuk kejayaan projek yang dibuat secara berkumpulan.
InsyaALLAH, dengan keberkatan doa kita kepada Allah S.W.T, kita akan sentiasa mendapat petunjuk dariNya dan mendapat keredhaan untuk memperolehi kejayaan. Marilah sama-sama kita doakan kepada Allah S.W.T supaya mudah-mudahan apa yang kita lakukan ini akan mencapai kejayaan dan mendapat keredhaanNya.
Dengan kata-kata itu dan dengan lafaz 'Bismillahirrahmanirrahim' saya menyempurnakan Majlis Penyampaian Dividen RTBB RISDA Negeri Melaka.
Tan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.