powered by
Socialbar
Socialbar
Risda
Peluang pekebun tingkat hasil
SEMATAN 8 Feb. - Pelancaran Gerakan Membaja RISDA peringkat negeri di Kampung Sebat Melayu di sini hari ini diyakini memberi peluang kepada pekebun kecil di bawah skim bantuan RISDA mengamalkan teknologi membaja dengan betul. Pada masa sama, gerakan membaja itu akan dapat memastikan pekebun kecil melaksanakannya secara berterusan mengikut amalan berkebun yang baik untuk meningkatkan produktiviti.
Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, melalui amalan pembajaan yang betul dan teknologi yang sesuai, tempoh muda pokok boleh dipendekkan kepada empat tahun setengah bagi getah dan dua tahun setengah bagi sawit selepas ditanam.
"Apa yang paling diharapkan adalah gerakan membaja ini juga dapat meningkatkan produktiviti pekebun kecil dan secara langsung akan meningkatkan pendapatan mereka. Dengan harga komoditi yang baik sekarang, saya minta pekebun kecil tidak terus berasa selesa sebaliknya memberi komitmen lebih tinggi dan sentiasa memberi respons kepada teknologi, pendekatan mahupun sistem yang diperkenalkan oleh RISDA atau agensi penyelidikan lain," katanya pada Majlis Pelancaran Gerakan Membaja peringkat Negeri Sarawak di sini. Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Kemajuan Tanah negeri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing; Menteri Tugas-tugas Khas negeri, Tan Sri Adenan Satem dan Timbalan Ketua Pengarah RISDA (Pengurusan dan Korporat), Ahmad Sufi Alias.
Rahim berkata, gerakan membaja telah dilancarkan pada tahun lalu secara besar-besaran berteraskan kepada peningkatan produktiviti supaya setiap pekebun kecil akan membaja setiap pokok getah dan sawit mengikut jadual serta peraturan yang betul.
Katanya, dengan gerakan itu para pekebun kecil akan dapat meningkatkan hasil dan seterusnya meningkatkan pendapatan selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Apa yang perlu dilakukan oleh para pekebun kecil adalah mengubah minda dan sikap untuk melihat tanah sebagai aset bagi menjana pendapatan secara maksimum. Bagi tujuan ini, pembajaan pokok amat penting kerana ia merupakan asas amalan pertanian yang baik, tetapi jangan pula RISDA memberi baja, kita tinggalkan di bawah rumah sahaja atau dijual kepada orang lain dan baja tidak sampai ke pokok," katanya.
Pada majlis sama, Rahim turut menyampaikan Bantuan Baja Tanam Semula RISDA untuk bahagian Samarahan sebanyak RM825,000 dengan 15,000 beg baja; Betong (RM990,000 dan 18,000 beg baja); Sibu (RM495,000 dan 15,000 beg baja); Miri (RM825,000 dan 9,000 beg baja) serta Kampung Sebat Melayu (RM17,215 dan 313 beg baja).
Sumber: Utusan Malaysia Online
Tan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.