powered by
Socialbar
Socialbar
Risda
RISDA tawar saham untuk pekebun kecil, kakitangan
KUALA LUMPUR 19 Jan. - RISDA sedang mempertimbangkan untuk menawarkan saham RISDA Holdings atau menubuhkan Amanah Saham Pekebun Kecil untuk para pekebun kecil dan kakitangan agensi itu.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, insentif tersebut merupakan sebahagian daripada rancangan untuk berkongsi kemakmuran yang dikecapi agensi itu agar produktiviti dan kebajikan pekebun kecil dan kakitangannya sentiasa meningkat.
"Jika sebelum ini keuntungan RISDA digunakan untuk pengurusan dan program berdasarkan belanjawan tahunan, namun dengan kewujudan insentif sebegini, sebahagian daripada keuntungan boleh diagihkan kepada pemegang-pemegang saham utama.
"Kita juga bercadang mewujudkan Amanah Saham Pekebun Kecil supaya keuntungan yang kita dapat boleh diberikan kepada pekebun kecil, kakitangan RISDA dan orang ramai.
"Jika pertimbangan melibatkan pihak profesional di dalam dan luar RISDA ini selesai, agensi akan menghantar laporan kepada menteri terlibat dan seterusnya Perdana Menteri. Kita percaya mereka akan bersetuju kerana pendekatan ini adalah untuk kebaikan bersama," katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara RISDA dan RISDA Semaian dan Landskap Sdn. Bhd. (RSSB), di sini hari ini.
MoU berhubung penyediaan bekalan benih yang mencukupi dan berkualiti tersebut ditandatangani Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pengerusi RSSB, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman.
Mengulas lanjut berhubung saham tersebut, Abdul Rahim berkata, skim ini berbeza dengan saham yang ditawarkan kepada peneroka Felda.
"Ini kerana pemegang saham RISDA layak untuk memperoleh dividen, menghadiri mesyuarat-mesyuarat agung, bersuara dan membuat teguran. Cuma golongan itu tiada hak mengundi," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim menjelaskan masalah kekurangan benih getah dapat diatasi tahun ini berikutan kejayaan RISDA dan RSSB mengumpul lebih 300 metrik tan biji getah dari seluruh negara.
Jelasnya, bagi melicinkan operasi penyediaan benih getah tersebut, sebanyak 14 tapak semaian seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak diwujudkan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Sumber : Utusan Malaysia Online
Tan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.