powered by
Socialbar
Socialbar
Risda
RISDA rancang tubuh pusat latih pegawai
ALOR GAJAH 22 Nov. - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bercadang menubuhkan sebuah pusat latihan bertujuan mempertingkatkan kemahiran dan semangat patriotisme di kalangan pegawainya di seluruh negara tidak lama lagi.
Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, cadangan mengenai perkara itu masih dalam perbincangan dalaman agensi itu untuk dilaksanakan di kawasan seluas kira-kira 5.6 hektar milik RISDA di Kuala Linggi, Alor Gajah, di sini.
Menurutnya, pusat latihan itu yang diberi nama Graha Patriotik RISDA turut dibuka penyertaannya kepada pegawai jabatan atau agensi kerajaan lain yang berminat mengikuti kursus disediakan.
''Pusat ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada pegawai RISDA mengenai penyampaian cara kerja yang efisien, malah membantu meningkatkan produktiviti ke arah menepati keperluan program transformasi yang diharapkan oleh kerajaan," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar majlis penyampaian sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri dan Kempen Tanam Semula RISDA di sini semalam.
RISDA menyumbang sejumlah RM110,000 kepada 100 buah NGO di seluruh negeri melibatkan pengurusan surau, rumah-rumah kebajikan serta persatuan ibu bapa dan guru.
Menurut Rahim, pada masa ini, terdapat satu perempat daripada kira-kira 7,000 kakitangan RISDA terdiri daripada mereka yang memegang jawatan pegawai.
''Kita akan pastikan penubuhan Graha Patriotik RISDA mampu menyalurkan ilmu dan akademik kepada pegawai dan pada masa sama, menekankan kepada semangat meningkatkan patriotisme yang sebenar," katanya.
Selain itu katanya, RISDA juga akan menambah dua buah lagi institut latihan pekebun kecilnya iaitu di Johor dan Perak dalam usaha meningkatkan produktiviti pekebun kecil getah dan kelapa sawit pada masa depan.
Mengenai Kempen Tanam Semula RISDA, kata beliau, pihaknya menyediakan sejumlah RM140 juta bagi perlaksanaan program itu melibatkan kawasan tanaman semula seluas 41,000 hektar di seluruh negara.
Rahim meminta pekebun yang terlibat dalam program itu agar segera menghubungi Pejabat RISDA daerah bagi mendapatkan bantuan yang telah diperuntukkan untuk mereka.
Sumber : Utusan Malaysia Online
Tan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.