powered by
Socialbar
Socialbar
Politik
Lantik Tun Mahathir menteri kanan
KUALA LUMPUR 17 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta mempertimbangkan cadangan supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai menteri kanan. Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, kepakaran dan pengalaman Dr. Mahathir dalam pentadbiran negara selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri perlu dimanfaatkan.
Beliau berkata, sepanjang tempoh tersebut, Dr. Mahathir telah melaksanakan pelbagai dasar untuk menjadikan negara ini terus berkembang daripada segi ekonomi.
''Pengalaman dan kepakaran beliau harus digunakan dalam membantu negara-negara dunia ketiga serta negara-negara Islam,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan buku Amanat Perdana Menteri di Wisma Risda di sini hari ini. Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Datuk Ramlan Othman.
Buku Amanat Perdana Menteri itu memuatkan edisi petikan ucapan enam Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman; Tun Abdul Razak Hussein; Tun Hussein Onn; Tun Dr. Mahathir Mohamad; Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Abdul Rahim menjelaskan, walaupun tanpa jawatan berkenaan, Dr. Mahathir masih mempunyai pengaruh yang kuat dan sering menerima jemputan menghadiri persidangan antarabangsa terutama di negara-negara dunia ketiga dan negara Islam.
''Jadi untuk memanfaatkan Malaysia kepada negara-negara luar, lebih elok satu jawatan ditimbang oleh kerajaan bagi mengiktiraf beliau sebagai pemimpin terhormat negara ini,'' katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, RISDA mempunyai peruntukan khas bagi membantu pekebun-pekebun getah yang terjejas ekoran kejadian banjir.
''Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah Risda dan pegawai- pegawai terlibat untuk memantau perkembangan itu terutama di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan bagi menyalurkan bantuan banjir dengan segera,'' katanya.
blog comments powered by DisqusTan Sri Rahim Tamby Chik
Pengerusi GABEM dan RISDA
Suite 28-1, Level 28, Lobi A
Wisma UOA II, 21, Jalan Pinang
50450 W.P. Kuala Lumpur, Malaysia
Tel: 03 - 2161 6060
Faks: 03 - 21610606
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.