powered by
Socialbar
Socialbar
ALOR GAJAH 27 Okt. - Hari Komuniti 1Malaysia (HK1M) bukan sahaja mampu memperkasakan peranan penduduk desa dalam bidang ekonomi, malah meningkatkan perpaduan pelbagai kaum di negara ini.
Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, HK1M adalah sebahagian daripada skop Program Pengupayaan Gerakan Daya Wawasan (GDW) yang bukan sahaja merapatkan jurang antara penduduk desa dan bandar, bahkan meningkatkan perpaduan di Malaysia.
Justeru itu menurut beliau, penganjuran HK1M oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah juga dapat mewujudkan persefahaman yang mantap antara kaum Melayu dan bukan Melayu, di samping menggerakkan usaha perkongsian tulen dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pendidikan, keusahawanan dan pembangunan kampung.
"Program seperti ini juga dapat memupuk kesefahaman dan pemuafakatan serta toleransi ke arah pembangunan masyarakat luar bandar dalam meneroka sumber kekayaan baru berteraskan GDW.
"Para peserta program ini juga dapat bertukar-tukar pengalaman pengurusan desa dan komuniti dalam mencapai kecemerlangan," katanya ketika merasmikan penutup HK1M 2010 di Balai Raya Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah RISDA negeri, Md. Tahir Othman.
Program HK1M itu menyaksikan peserta bermalam di rumah keluarga angkat bagi mengenali lebih dekat cara kehidupan masyarakat desa di kampung tersebut.
Selama tiga hari, peserta didedahkan dengan beberapa sesi perbincangan, dialog dan soal jawab selain mengikuti forum muhibah bertajuk 1Malaysia Menjana Kemajuan Negara.
Tiga ahli panel yang memberi ceramah pada forum tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Profesor Madya Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.
Turut sama ialah Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Teo Kok Seong dan wakil Kementerian Pelajaran, A. Selvendran.
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.