powered by
Socialbar
Socialbar
MASJID TANAH 25 Sept. – Kerajaan telah meluluskan cadangan RISDA untuk menubuhkan RISDA Holdings yang akan menerajui 11 anak syarikat utamanya dalam satu pentadbiran.
Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, RISDA Holdings akan mula beroperasi awal tahun depan dan majlis pelancarannya dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya, keputusan yang diambil oleh kerajaan itu membolehkan RISDA Holdings menjadi pemangkin untuk meningkatkan pendapatan RISDA berbanding sekarang.
Selain itu, beliau menambah, ia juga memberi kelegaan kepada kira-kira 350,000 pekebun kecil dari seluruh negara yang akan menikmati pendapatan lebih lumayan.
“RISDA Holdings akan beroperasi atas prinsip kecekapan, telus dan lebih profesional berbanding sekarang dan ini akan memberikan keuntungan besar bukan sahaja kepada RISDA tetapi juga seluruh masyarakat pekebun kecil dari seluruh negara.
“RISDA Holdings yang beroperasi awal tahun depan akan menjadi peneraju kepada 11 anak syarikat RISDA untuk mengukuh dan memperluaskan lagi aktiviti perniagaan yang mencakupi sehingga ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya di Sri Pantai, Pengkalan Balak, di sini hari ini.
Kira-kira 1,000 masyarakat daripada pelbagai kaum menghadiri majlis tersebut yang bermula pada pukul 10 pagi hingga 2 petang.
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.