powered by
Socialbar
Socialbar
KUANTAN 24 Feb. - Usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi bumiputera tidak bermaksud hendak menyekat atau mengetepikan hak dan peluang kaum lain.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, usaha tersebut perlu dilakukan untuk memastikan pembahagian kek ekonomi yang ada dibuat secara lebih adil dan tidak hanya dikuasai golongan atau kumpulan tertentu sahaja.
"Ia tidak bermaksud hendak menyekat peluang ekonomi bukan Melayu. Peluang ekonomi di Malaysia banyak dan tidak perlu berebut-rebut serta menindas mana-mana pihak.
"Kita dianugerahkan banyak peluang ekonomi dan kita boleh pilih peluang yang kita mahu ceburi dengan jayanya," katanya ketika berucap melancarkan Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Pahang di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Gabem, Tan Sri Rahim Tamby Chik; Pengerusi Majlis Gabem Pahang, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail.
Adnan berkata, apa yang dikesali ialah sikap orang Melayu sendiri yang telah banyak diberi peluang tetapi gagal memanfaatkan peluang tersebut sebaik-baiknya untuk membina sebuah empayar perniagaan.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Adnan berkata, usaha yang dilakukan kerajaan pada hari ini ialah untuk membesarkan lagi kek ekonomi yang ada di negara ini supaya ia dapat dinikmati oleh semua pihak.
Beliau berkata, usaha itu adalah selaras dengan konsep 1Malaysia yang diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak sekali-kali menekan sama ada orang Melayu, Cina atau India.
"Semua peniaga sama ada Melayu, Cina atau India ada peluang, tempat dan ruang masing-masing, sesuai dengan konsep 1Malaysia," katanya.
Bagaimanapun katanya, semua pihak kena memahami bahawa kerajaan perlu membantu usahawan Melayu bagi mewujudkan keseimbangan memandangkan banyak sektor swasta dikuasai oleh golongan bukan Melayu.
Mengenai Gabem, beliau berkata, badan itu berperanan mendidik usahawan Melayu bagi mengharungi perkembangan ekonomi global untuk memastikan mereka mampu bersaing.
"Soal bersaing atau menghapuskan peluang perniagaan sesuatu kaum tak timbul," katanya.
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.