powered by
Socialbar
Socialbar
BUKIT MERTAJAM 20 Ogos - Masih banyak kemudahan asas belum diterima oleh penduduk di Kampung Bukit Indera Muda kawasan Parlimen Permatang Pauh di sini.
Ketua Pemuda UMNO Cawangan itu, Nor Azman Md. Noor, 35, berkata, sepatutnya pihak berkenaan ambil perhatian berat mengenai perkara itu.
"Pelbagai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung ini telah kami ajukan kepada pihak atasan sebelum ini, malangnya tidak mendapat perhatian," katanya.
Beliau berkata, masalah dihadapi oleh penduduk kawasan ini perlu diberi perhatian serta merta dan bukannya dibiarkan berlarutan untuk jangka masa panjang.
"Saya telah membangkitkan hal itu dalam satu perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin UMNO dari Bukit Mertajam dan Permatang Pauh beberapa hari lepas dan hendaknya tidak lama lagi perkara ini dapat diselesaikan," katanya.
Terdapat lebih 30 pemilik rumah di Bukit Indera Muda dan Permatang Pasir yang berhadapan dengan masalah bumbung rumah bocor dan ketiadaan bekalan air bersih terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dengan pendapatan masing-masing tidak lebih RM500 sebulan.
Sehubungan itu, Nor Azman berkata, borang permohonan mendapatkan bantuan telah diserahkan kepada Pengerusi RISDA, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sempena pelancancaran Program Pembangunan RISDA Pulau Pinang di Pusat GiatMara Permatang Ara di sini, hari ini.
risda kini melancarkan Program Bantuan Rumah (PBR) kepada golongan yang memerlukan terutama warga emas dan ibu tunggal yang hidup dalam kemiskinan.
Seorang ibu tunggal, Jawreah Mat, 61, berkata, dia berharap mendapat bantuan yang disediakan oleh RISDA itu.
"Saya tidak mempunyai wang yang banyak untuk membaiki bahagian dapur rumah, sumber pendapatan tidak ada selepas suami meninggal dunia dua tahun lalu," katanya.
Seorang lagi penduduk yang memerlukan bantuan, Said Hamid, 48, memberitahu, bumbung rumahnya bocor sejak sekian lama dan masih belum dapat dibaiki kerana masalah kewangan.
"Saya hanya seorang pemandu lori sampah, pendapatan tidaklah seberapa, jika risda dapat melakukan kerja membaiki bumbung rumah ini, ia amat menggembirakan," katanya.
Hasan Shariff, 68, pula berharap, pihak berkenaan segera memperbaiki paip yang membekalkan air ke rumahnya.
Arkib : Utusan Malaysia / 20 Ogos 2009
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.