powered by
Socialbar
Socialbar
KUALA LUMPUR 4 Ogos - Tindakan tegas perlu diambil termasuk ke atas pemimpin-pemimpin utama pembangkang jika wujud bukti mereka membayar sebahagian individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) Sabtu lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, budaya mengupah rakyat untuk berdemontrasi perlu dicantas dari mula bagi mengelakkan negara dilanda 'malapetaka' dan kehancuran pada masa depan.
Beliau menegaskan, pihak polis dan pihak berkuasa lain yang berkenaan tidak perlu gentar untuk mengambil tindakan andai terdapat bukti kukuh pemimpin pembangkang terbabit dalam perbuatan itu.
"Saya sudah tegaskan semalam, tidak kira siapa sahaja, kalau sekiranya terbukti terbabit dalam kegiatan-kegiatan yang boleh memudaratkan keselamatan atau ketenteraman negara, tindakan tegas harus diambil terhadap pihak-pihak ini.
"Kalau budaya ini tidak dibendung dari peringkat awal, saya bimbang hari ini, mereka disogok untuk berdemontrasi, akhirnya takut mereka disogok untuk lakukan perkara yang boleh hancurkan negara ini," tegasnya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil dan diploma kepada graduan pada majlis Konvokesyen ke-8 Kolej RISDA di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi RISDA, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.
Mohd. Shafie mengulas kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang memberitahu pihaknya memperoleh sumber maklumat mendapati sebahagian golongan muda yang menyertai demonstrasi tersebut sebenarnya telah diupah untuk berbuat demikian.
Beliau tidak menyatakan pihak mana yang mengeluarkan upah, tetapi perhimpunan mansuh ISA itu dilihat condong kepada perjuangan pihak pembangkang di negara ini.
Tambah Shafie, pihak berkuasa harus segera membendung gejala mengupah individu untuk melakukan demonstrasi dan rakyat yang cintakan kedamaian pula perlu memberikan sokongan dalam hal itu.
"Rakyat harus terpanggil beri sokongan bila kerajaan ambil tindakan tegas kepada pihak-pihak ini, bila kerajaan ambil tindakan tegas, jangan ada pihak bersimpati.
"Kita ambil tindakan berlandaskan undang-undang, asal ada bukti," katanya.
Katanya lagi, tidak perlu ada sebarang kerisauan atau kebimbangan untuk mengambil tindakan ke atas para pemimpin pembangkang andai terbukti benar mereka terbabit dalam hal itu.
"Saya dapat melihat di kaca televisyen ada di antara Ahli-Ahli Parlimen pembangkang yang terbabit, saya ingat bukti itu cukup jelas.
"Jangan ada pengecualian terhadap pihak-pihak ini, kalau kita langgar undang-undang diambil tindakan, kalau mereka langgar undang-undang tiada tindakan," katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir diadakan dalam bulan Ramadan, beliau memberitahu, penentuan tarikh itu terletak pada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita bagaimanapun akan melakukan persiapan yang terbaik untuk membolehkan rakyat memilih dengan bijak," katanya.
Arkib : Utusan Malaysia / 4 ogos 2009
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.