powered by
Socialbar
Socialbar
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik menyifatkan kemenangan beliau pada pemilihan jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini sebagai anugerah Allah. Menurut Abdul Rahim, kemenangan itu benar-benar bermakna baginya selepas tujuh tahun beliau tidak bergiat aktif dalam politik nasional.
"Saya bersyukur kerana selepas tujuh tahun saya dapat kembali ke dalam arena politik nasional.
"Saya akan menjalankan tugas saya sebagai MT sebagai mana ikrar saya kepada perwakilan dan pengundi UMNO,'' katanya ketika ditemui di sini malam ini.
Dengan kemenangan di tempat ke-14 Abdul Rahim berkata, beliau akan melaksanakan peranan bagi memastikan kepimpinan UMNO lebih cemerlang.
Mengulas mengenai muka-muka baru dalam barisan MT, katanya, ia adalah satu perkara biasa dan keputusan itu mestilah diterima dengan baik.
"Perubahan ini adalah satu perkara biasa dan kita mesti menerima keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan,'' katanya.
Katanya, semua pihak juga harus percaya kepada kebijaksanaan dan pandangan jauh para perwakilan.
"Apa yang penting ialah semua ahli UMNO perlu memastikan muka-muka baru ini boleh bergerak seiring dengan perjuangan UMNO yang dipimpin oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,'' katanya.
Arkib : Utusan Malaysia Online / 23 September 2004
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.