powered by
Socialbar
Socialbar
MELAKA 21 Sept - Masyarakat Portugis di sini hari ini menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan disahkan sebagai Presiden UMNO yang baru pada perhimpunan agung parti itu minggu ini, menerima masyarakat kaum itu sebagai anggota UMNO.
Naib Presiden Portugis Serani Melaka, Joseph Sta Maria berkata, dengan menerima komuniti Portugis dan kaum minoriti lain seperti masyarakat Thai Malaysia sebagai anggota parti itu, ia akan membantu kaum minoriti terbabit membangun dan memenuhi cabaran mendatang.
"Sudah sampai masanya UMNO membuka pintunya kepada kaum minoriti di negara ini kerana ia akan membantu melindungi warisan budaya dan kelangsungan hidup yang berkekalan kaum minoriti di negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Joseph, jika kaum minoriti di Sabah boleh diterima sebagai anggota UMNO, pastinya tidak ada masalah menerima kaum Portugis dan minoriti lain ke dalam parti politik terbesar di negara ini.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 6 Mac 1993 telah membincangkan kemungkinan menerima masyarakat Portugis Malaysia sebagai anggota UMNO.
"Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan perkara itu kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat itu (MT)," katanya.
Hasilnya, UMNO Melaka yang diketuai oleh Ketua Menteri ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik telah menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi meninjau sama ada masyarakat Portugis boleh diterima sebagai bumiputera dan sekali gus membuka ruang untuk mereka menjadi anggota UMNO.
Joseph berkata, jawatankuasa itu dianggotai oleh pakar sejarah dan ahli akademik, Prof Datuk Dr Khoo Kay Khim, Tan Sri Aziz Tapa dan Datuk Dr Zainal Kling dan ahli sejarah terkemuka lain.
"Malangnya hingga hari ini, tiada berita lanjut mengenai penubuhan jawatankuasa yang ditubuhkan pada 1993 itu," katanya.
Arkib : Bernama / 21 September 2004
Hakcipta MyRTC 2009 - 2011
Pihak MyRTC tidak akan bertanggungjawab di atas sebarang kerosakan atau kehilangan yang dialami ketika melayari laman web ini.